Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di reuang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.
"Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.
Dalam hatinya berkata :"Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengansikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya menderita sepertinys. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh istrinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.
Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
Suami baru itu menjawab dengan tenang :"Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan yang ditengking dulu!"
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya di atas. Ada masa dan ketikanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan."
Anas Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya."
Firman Allah s.w.t. Surah Al-Taubah, Ayat 79 yang bermaksud :
"Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereke berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sekadar kemampuanynya serta mereka mengejek-ngejeknya, Allah akan membalas ejekan-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.