Monday, 28 November 2011

Israk Mikraj patut menginsafkan kita




Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa.

Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.

Jika manusia menyamakan kelebihan Allah dengan keupayaan mereka, maka seolah-olah manusia cuba menyamakan Allah dengan upaya manusia dan ia adalah bercanggahan.

Kuasa Allah adalah kuasa mengatasi manusia dan kuasa manusia adalah kuasa yang terbatas kerana manusia sendiri ditentukan oleh Allah.

Penggunaan Buraq sebagai alat kenderaan Rasulullah umpamanya adalah di bawah kuasa Allah dan kelajuan perjalanannya di luar upaya manusia menghitungnya.

Kenderaan ciptaan Allah itu sewajarnya memberi keinsafan kepada manusia bahawa apa pun teknologi kenderaan yang direka manusia, ia tidak boleh menyamai kehebatan Buraq yang membawa Rasulullah ke Sidratul Muntaha.

Salah satu perkara yang amat utama dalam misi Rasulullah bertemu dengan Allah ialah perintah melakukan solat fardu.

Rasulullah dalam hubungannya dengan Nabi Musa berulang kali menasihatkan agar dimohon keringanan Allah supaya perintah mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam diringankan ke 40 kali, kemudian 10 kali hingga akhirnya tinggal lima kali.

Anugerah solat dari Allah yang bersifat langsung itu petanda pentingnya solat sebagai sumber ibadat utama manusia.

Binaan solat menghubungkan manusia dengan Allah dan ruh al-solat yang sentiasa ada pada manusia menjadikan manusia sentiasa mempunyai aqaid atau ikatan dengan Penciptanya.

Apabila ikatan teguh terbina, manusia mempunyai pancang hidup dan apa saja yang dilakukan dalam hidup, pancang itu kembali kepada Allah hatta sekiranya manusia melampaui batas, pancang hubungan manusia dengan Allah menjadi sumber kekuatan.

Kewajipan solat ada hikmah yang besar kerana melalui amalan solat, manusia membentuk jiwa kehambaan tinggi. Dengan amalan rukuk dan sujud manusia membina sifat tunduk, patuh, akur dan taat kepada Pencipta.

Ketundukan, kepatuhan, keakuran dan ketaatan itu boleh menjadikan manusia sentiasa melakukan sesuatu yang Allah suruh dan menjauhkan diri dari sesuatu yang dilarang untuk mengekalkan manusia dalam keadaan fitrah.

Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah manusia mempunyai akal.
Apabila manusia sujud kepada Allah, fakulti akal diletakkan dalam satu paras yang amat rendah tanda penyerahan yang tinggi kepada Allah.

Jika apa yang manusia fikir sentiasa tunduk kepada Allah, natijah ilmu juga akan membawa manusia tunduk kepada-Nya. Tetapi dengan akal juga manusia boleh ingkar, sombong dan takbur.

Namun, perlakuan solat boleh mendidik manusia agar sentiasa tunduk, patuh, akur dan taat terhadap kebaikan.

Jiwa kehambaan inilah sebenarnya yang amat dituntut oleh agama agar manusia mengiktiraf asal kejadiannya, mengakui keterbatasan dirinya dan meletakkan usaha dirinya dalam ketentuan Allah.

Apabila manusia memiliki sifat ini, ia akan sentiasa cuba menjalani hidup berasaskan keredaan Allah kerana hanya dengan keredaan Allah, manusia mendapatkan barakah-Nya.

Mendapat barakah Allah bermakna manusia berada dalam keadaan fitrah, iaitu puncak terbaik bila manusia melakukan solat kerana melakukan solat `mencegah manusia dari melakukan fahsya' (kekejian) atau kemungkaran.'

Selain menerima perintah solat, ada beberapa peristiwa yang menginsafkan disaksikan sendiri oleh Rasulullah sepanjang tempoh Israk dan Mikraj itu.

Rasulullah melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sampah serta rumput kerana ketika di dunia ini mereka enggan mengeluarkan zakat dan tidak melakukan sedekah kerana
bakhil.

Inilah pengajaran kepada manusia iaitu harta yang kita miliki pada hakikatnya adalah milik Allah dan di dunia ini kita hanya menguruskan harta untuk sementara waktu.

Harta menjadi sumber amal sekiranya harta dibersihkan dengan zakat, fitrah dan sedekah.

Harus ada keinsafan bahawa ihsan Allah kepada hamba tidak hanya untuk diri manusia seorang tetapi setiap yang kita terima daripada Allah ada hak yang perlu diberi kepada yang lain.

Baginda juga melihat sekumpulan manusia mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang hidupnya bergelumang dengan amalan riba'.

Riba' adalah amalan ditegah oleh Islam kerana riba' gambaran eksploitasi, diskriminasi dan monopoli keuntungan daripada hasil jual-beli dan perjanjian yang berlaku secara tidak adil.

Sedangkan seluruh rahmat dan nikmat Allah yang diberi adalah untuk kesejahteraan hidup manusia.

Rasulullah juga melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk, sedangkan di sisi mereka ada daging telah dimasak serta berkeadaan baik.

Inilah gambaran manusia yang melakukan zina sedangkan mereka sudah mempunyai isteri dinikahi secara sah. Zina ditegah oleh Islam dan al-Quran dan mengamalkan perbuatan zina bakal merosakkan keturunan serta maruah diri.

Baginda juga menyaksikan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan dan memecahkan kepalanya sendiri kerana semasa hidupnya melakukan dusta, fitnah serta sibuk menguruskan hal duniawi dan lupa melakukan solat.

Peristiwa itu diceritakan Rasulullah sebagai peringatan kepada umat manusia pada zamannya dan kepada kita yang terkemudian.

Manusia belajar dari peristiwa dan kisah Israk Mikraj adalah peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasulullah yang bukan saja memberi kebaikan kepada Baginda, juga iktibar untuk manusia yang berfikir dan insaf akan kebesaran Allah.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.